Showing posts with label Buah fikiran. Show all posts
Showing posts with label Buah fikiran. Show all posts

28.8.12

Pendapat

Salam.

Baiklah, ana ingin sekadar menyatakan pendapat buat kali ini.

Sememangnya diketahui umum bahawa hanya Nabi Muhammad yang layak disandarkan sifat-sifat kemaksuman, atau dalam bahasa Melayu yang difahami, terpelihara daripada perkara-perkara yang mencemarkan kemuliaan seorang rasul. [Rujukan pantas]

Bagaimana pula dengan para sahabat? Ada yang dijanjikan tempat di syurga, subhanAllah! (segala puji hanya kepada Allah!) [Rujukan] Bagaimana pula para ulama' yang hidup mereka hanya semata-mata menitip redha Allah SWT dalam mengembangkan deen dari segi pelbagai aspek misalnya ulum Quran, ulum hadis dan pelbagai jenis ulum (ilmu)? Tentunya ada sahaja yang berpendapat bahawa mereka tidaklah maksum tetapi bagi ana, keperibadian mereka yang unggul mampu mengecilkan sebarang kekurangan yang ada pada mereka.

Namun begitu, janganlah atas sebab kita boleh bersembunyi di sebalik identiti rahsia (bomohkan baru tahu hehehe!), kita meremeh-temehkan segala usaha mereka. Tidak dapat dinafikan lagi sememangnya telah dituntut terhadap golongan yang beriman supaya mematuhi perintah-perintah Allah SWT seperti yang disampaikan oleh Nabi Muhammad , seelok-eloknya seperti dalam bentuk yang asal. Merekalah yang meneruskan tradisi penyampaian yang tidak putus-putus daripada Nabi Muhammad sendiri.

Sedih apabila ada sahaja yang enggan meneruskan tradisi sebegini. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan sebegini, insyaAllah.



4.1.12

Berlaku adil

Salam.

Ana berharap ana bukan dalam golongan sebegini, insya Allah.

Bukannya apa, ijazah belum habis lagi, sekiranya ditanya mengenai konsep-konsep yang hanya diajar dalam pengajian tahun tiga (atau jauh lebih tinggi daripada itu), insya Allah ana akan mengaku dengan pantas, "maaf, tidak tahu".

Insya Allah, ana akan berbuat sebegitu apabila ditanya mengenai isu-isu dalam Islam. Apakan daya ilmu Islam di dada ana hanyalah sekadar Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Kehadiran Kelas Fardhu 'Ain di sekolah rendah dan sekelumit pembacaan serta beberapa sesi kuliah (yang boleh dikira dengan jari). Ana tidak mahu, sekiranya sekelumit kebatilan diujarkan dalam perkongsian atas sebab memang ana tidak ada ilmu terhadap bidang terbabit, ana bimbang, jalan yang diredhai Allah ini menjauh daripada pembaca-pembaca.

Mungkin sesetengah orang kata sekiranya tempelan berbentuk pendapat itu memang rencah blog tetapi ana lebih bimbang sekiranya idea-idea ana disalah tafsir atau dijadikan hujah bagi seseorang (lebih bimbang sekiranya digunakan untuk menegakkan kebatilan sambil meruntuhkan kebenaran), sedangkan ana bukanlah orang yang sesuai dirujuk. Entahlah, bagi ana, perkembangan teknologi Internet ini menjadikan manusia kian bersikap lepas tangan atau acuh tak acuh. Kenapa serius sangat? Sebabnya ketika ajal menjemput ana pada waktu yang ditetapkan nanti, ana "masih" hidup, ya, "hidup" dalam alam maya. Sebarang sisa-sisa yang ditinggalkan di dunia Internet ini, sekiranya buruk, maka, siapalah yang tahu dalam alam baru nanti...




2.1.12

Maka rajah itu timbul dan timbul dan timbul lagi

خَيْرُ الْقُرُوْنِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ

Sebaik-baik zaman adalah zamanku, kemudian zaman sesudahnya, kemudian zaman sesudahnya.
[Hadis sahih riwayat Muslim, dalam Kitab Fadhail al-Shahabah]

Assalamualaikum.

Mudah-mudahan petikan hadis di bahagian atas membuat ana dan pembaca-pembaca tempelan ana kali ini menginjak paradigma yang berkaitan dengan "graf" yang ana paparkan seperti di bawah. Sekiranya ada sebarang bacaan menarik seperti kisah latar belakang semasa Nabi Muhammad S.A.W. menuturkan ayat tersebut silalah berkongsi. Tak pun rencana akademik mengenai hadis ini dari segi bahasanya, dan aspek-aspek lain.

Klik pada gambar sekiranya inginkan saiz yang lebih besar.

Rasanya sudah ada banyak pandangan mengenai rajah (graf?) yang disebutkan. Tak silap ana, silalah gunakan Google bagi mencari kritikan rajah tersebut. Pelbagai rajah dikemaskinikan supaya penceritaan linear dapat disampaikan melalui rajah.

Cuma di sini, berkaitan dengan hadis di atas, masih lagi timbul hal seperti:
  • Kenapa garis masa (?) bertitik-titik (kronologi?) itu sekejap berliang-liuk?
  • Adakah "ilmu sains" dan "ilmu falsafah" itu "melebihi" atau "lebih tinggi" atau kenapa tidak "setaraf" dengan "ilmu hadis", "ilmu syarak" dan sebagainya?
  • Baiklah, sekiranya rajah itu menggambarkan sebuah bukit dengan kemuncak besar dan kemuncak kecil, apakah signifikannya 1934M? Mengapa tiap-tiap "titik" itu diletakkan sedemikian? Apakah bezanya berada "jauh lebih tinggi" dan "jauh lebih rendah"?
  • Adakah nas-nas yang sahih pada Zaman Makkah, Madinah dan Khulafa' Ar-Rasydin tidak setaraf dengan pengkajian zaman-zaman selepasnya? Bukankah lurus hati Nabi S.A.W. dan para sahabat "tidak setaraf" dengan konflik-konflik dan penyelewangan-penyelewangan yang berlaku?
  • marilah kita sama-sama mengenali Nabi S.A.W., para sahabat dan para tabi'in melalui sumber sahih ‒ kitab-kitab misalnya. [Iklan]
  • Dan macam-macam. Datanglah program kami! [Iklan ‒ kali ini betul-betul iklan]
Sudah tiba masanya kita sebagai hamba yang memilih jalan-Nya meletakkan "pentafsiran" yang jauh lebih adil. Adakah kualiti mampu dikuantitatifkan (boleh diletakkan dalam bentuk nilai)? Sedangkan masih boleh terang lagi perkara-perkara yang hak seperti di sebalik "krisis" Muawiyah dan Ali r.a., itupun sekiranya ana, dan pembaca-pembaca Muslim lain berpegang teguh kepada nilai-nilai anjuran Islam ‒ berbaik sangka (husnuzon). Mereka merupakan sahabat Nabi S.A.W. yang sungguh mulia!

Sekian.



2.12.11

Selingan: gaya pemikiran bertepuk sebelah tangan

Salam.

Tempelan 1 Disember membuatkan ana terfikir mengenai maklumat yang datangnya dari satu pihak sahaja.

Dengan berselerakan dan bertaburan maklumat terutamanya yang berkumandang daripada pembesar suara alatan elektronik, sememangnya kita terdedah dengan pengaruh sebegitu. Yang berakhir dengan misalnya iOS lawan Android... perlu contoh lagi ke?

Apabila sahaja arus pemikiran sebegitu menguasai corak tindakan kita...

Apakah langkah terbaik? Seelok-eloknya dengarlah (atau ambillah) daripada kedua-dua belah pihak misalnya dari segi sejarah. Mungkin pandangan ana tidak betul, tetapi sekiranya kita terlalu bergantung kepada wacana berbahasa Inggeris kita mungkin lebih terdedah kepada pemikiran gaya "mereka" dari segi mengetengahkan isu.

Maka sebab itulah jangan asyik baca satu jenis akhbar dan dengar daripada televisyen semata-mata. Sebagai suatu perumpamaan. Terokailah dunia buku. Hehehehe.

Sekian.



30.11.11

TV bercirikan pendidikan?

Salam.

Terpandang iklan National Geographic pula. Mengenai bencana-bencana besar, kemudiannya adalah beberapa frasa yang mengaitkan dengan "ramalan kaum Maya purba mengenai tahun 2012"... mungkin ana tak sempat nak dengar secara tepat mengenai iklan sebegitu. Tetapi rancangan yang dimaksudkan ialah "End of Days". Cukup setakat ulasan iklan.

Sewaktu usia ana sebelas tahun, TV1 (ya, TV1, Radio Televisyen Malaysia!) ada menyiarkan kartun "Once Upon a Time, the Discoverers..." asalnya dari negara Perancis [rancangan yang dimaksudkan dalam rencana Wikipedia bahasa Inggeris]. Selalu disiarkan pada jam 5.30 petang hari Selasa atau Rabu rasanya...

Dan pada suatu episod, rancangan ini mengetengahkan mengenai Darwin dan "teori evolusi manusia"nya. Iyalah, ana kan masih kecil lagi naif. Terus ana percaya bahawa manusia berkembang daripada beruk! Pada hari kemudiannya ana menceritakan hal sebegini kepada rakan-rakan kelas ana. Salah seorangnya (yang mengikuti kelas KAFA) mencelah menyatakan bahawa "manusia berasal daripada tanah". Alhamdulillah. Ana "diselamatkan" daripada terus mempercayai bulat-bulat bahawa "manusia berasal daripada beruk".

Mungkin para pembaca ada yang bertindak untuk bersikap skeptik dengan tindakan ana, tapi, marilah berlapang dada ya. Sekiranya "pergaduhan" yang bakal terjadi itu bersifat ilmiah ana juga akan berlapang dada, insya Allah.

Kembalilah kepada National Geographic yang ana sebut pada awal-awal tampalan ini. Jadi sekiranya kanak-kanak dan mana-mana Muslim yang menonton rancangan tadi, tiada masalah, tontonlah. Cuma ana rasa sedikit bimbang kerana tanpa pegangan aqidah yang kuat, Allahu 'alam, mereka lebih takut dengan momokan tahun 2012 daripada takutkan Allah s.w.t. Jadi ana memohon dengan keredhaan Allah jua supaya dikuatkan aqidah masing-masing sehinggalah diseru kembali pada bila-bila masa, insya Allah.

Alang-alang menyebut National Geographic (NatGeo); sekiranya di Malaysia, perkhidmatan mana lagi yang membolehkan rakyat Malaysia mendapat televisyen satelit melainkan ASTRO! Untuk melanggan National Geographic, pelanggan seharusnya melanggan pakej Knowledge [pautan] disertakan dengan History, rangkaian Discovery Channel, dan pelbagai rancangan yang lain. Sudah, ana bukannya jurujual piring satelit Astro di sini!

Tapi kadang-kadang rancangan dalam NatGeo diterbitkan oleh [The] History [Channel]. Dan kadang-kadang juga sedikit langkah beringat-ingat apabila rancangan-rancangan sebegini lebih berat fokusnya kepada Eropah dan Barat. Mestilah, kerana diterbitkan orang sana. Cuma ana bimbang penonton muda yang masih bersekolah mungkin termakan pandangan "orang sana", lebih bimbang, dari segi sejarah. Haaaa...! Oleh sebab yang demikian kita digalakkan membaca dengan lebih untuk menerima pelbagai jenis input, dan segala percaturan kendiri dalam tiap-tiap peristiwa tidak ada unsur berat sebelah dan alasan-alasan sewaktu dengannya...

Maka sebelum ana menamatkan tempelan panjang ana buat kali ini, adakah saluran-saluran sebegitu boleh dikatakan sebagai rancangan pendidikan? Atau sekadar hiburan ringan pseudo[nama bidang]?



12.11.11

Entahlah...

Salam. Rasa macam nak buat muhasabah diri sikit.

2011. Zaman Peranti-i (iDevice), tablet, Android, telefon pintar dan pelbagai jenis gajet-gajet hebat yang lain. Tak lupa dengan (ana rasalah) Facebook yang kian mendapat sambutan, begitu juga Twitter dan Google+.

2007? Waktu tu telefon Nokia jenis N, SonyEricsson, Friendster atau MySpace... Blog kian bercambah hari demi hari.

2002 pula sekiranya ada telefon bimbit hatta Nokia 3310 pun dicop "mewah".

1990-an? Ana masih lagi kecil. Kenal komputer pun umur lapan tahun. Windows 95, Pentium II, internet 28.8kbps dan nostalgia silam.

Cuma, adakah dengan teknologi yang kian canggih dan boleh diperkecilkan saiz, akhlak kita di hadapan orang yang lain pun mengikut trend menurun yang sama?

Masuk blog sana, baca status sini, tweet itu. Kadangkala isu yang penting yang mampu diulaskan dengan menggunakan tutur kata yang sopan kurang mendapat perhatian. Jadi carutan, makian dan kata-kata kesat digunakan supaya "memberikan kesan". Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. tak pernah pun dalam sunnahnya mencarut-carut bagi menyebarkan agama Allah di negara Arab yang berpadang pasir. Sila perbetulkan jikalau pernyataan tadi tidak benar.

Entahlah, kanak-kanak sekarang, bukan setakat umur 10 tahun. Tapi lima, enam tahun pun dah kenal apa itu Angry Birds dan [nama-nama peranti]. Pelajar sekolah menengah bebas mencerca-cerca orang lain (yang tidak dikenali) melalui Twitter. Ana pula pernah bila bersembang-sembang depan orang sambil buka Facebook!

Bukannya apa, ana rasa semua ni perlukan kawalan. Kadang-kadang dalam Internet kita dah jadi macam Dr. Jekyll dan Mr. Hyde. Apabila kawalan tiada, semuanya nak masuk dalam Internet. Kemahiran berkomunikasi seiring dengan akal budi (common sense) pun dah entah buang ke mana...

Tak salah gila Facebook, Twitter dan seangkatan dengannya. Cuma janganlah diabaikan komunikasi melalui suara. Nanti bila dah berperang, masuk Facebook. Si A sakit hati, si B pula kecil hati. Masing-masing dihalang (block). Tapi bila nak minta maaf boleh pula buka mulut?

Ada yang berpesan supaya "look outside" dalam hal ini. Lihatlah dunia sebenar.

Leteran berakhir. Hehehehe. Sebelum tu ana nak kongsi satu klip video mengenai... benda yang dikongsi di Internet tidak sama sekali terhapus walaupun dipadam. Ada aksi-aksi kurang menyenangkan jadi ana minta maaf tapi klip video ni ana rasa ada manfaatnya. :) [YouTube]

Ana bukanlah nak menjustifikasikan ana ini betul, tapi sekiranya ada teguran rajin-rajinlah berkongsi di bahagian komen.

Wassalam.



17.10.11

Internet, oh Internet!

Salam.

Menarik. Dengan perkembangan teknologi terutamanya dengan wujudnya blog dan sekarang media sosial seperti Facebook dan sekutu-sekutunya, nampaknya sedikit sebanyak membuatkan segelintir daripada masyarakat mula berani bersuara dalam suatu alam abstrak (tak dapat disentuh) semata-mata. Berani untuk menonjol dan sekurang-kurangnya menambah bilangan orang yang mengenali seseorang personaliti walaupun personaliti tersebut tak akan mengenali orang yang dimaksudkan.

Bagus apabila dapat menaikkan keyakinan diri dari segi teguh dalam menyatakan suara hati.

Tak bagusnya apabila benda tempat letaknya salah ataupun zalim. Pandai-pandailah...

P.S. Dari segi ideologi, lebih baik dianuti daripada hanya mengikut-ikut. Kenapa pemilihan kosa kata anut? Anutan itu setelah dikaji dalam-dalam dan diperkasakan dengan bukti. Ikut-ikutan, sebut ikut pun dah tahu. Takkan ke mana punya.

P.S.S. Dari segi mengetengahkan pendapat biar beralas atau bertongkat dengan fakta, bukti atau sebarang sanggahan. Jangan main cakap lepas, sahlah ikut sebab emosi semata-mata. Dalam dunia akademik perkara ini biasa, sekurang-kurangnya pandangan yang ditolak tepi itu ditolak dengan maruah bukannya dengan merah padam malu. Lagi-lagilah apabila berhujah, mulut terbuka pun orang lain boleh agak.

Selamat malam Malaysia.



30.9.11

Media dalam peranan menyebarkan maklumat yang betul

Salam. Sedikit mengamuk dengan media massa (berbahasa Melayu) di Malaysia ni mengenai isu penyebaran maklumat mutakhir dan yang sewaktu dengannya. Ana tak dapat nafikan isu utama media massa sekarang ialah politik, politik dan politik sahaja, jadi kebanyakan orang muda yang kononnya sangat membenci politik secara total inilah yang tak ambil kisah sangat, padahal rakyatlah yang sebenarnya mempunyai kuasa atas negara masing-masing. OK cukup, cukup, nanti tiba-tiba tulisan blog kali ini berkisar politik daripada awal hingga akhir. Lagilah orang meluat. Hehehe.

Masalah utamanya ialah dari segi penggunaan penyampaian maklumat yang betul. Kalau pengunjung budiman rasa pernyataan ini tepat bermakna itulah mentaliti anda, hehehe. Luas sangat isu ni. Baiklah, ana nak mengetengahkan isu penggunaan istilah yang tepat.

Ok, ana nak bagi satu contoh. Berkenaan bidang kaji cuaca atau dalam bahasa orang putihnya meteorologi. Sebab sejak sekian lamanya penggunaan istilah yang tidak tepat ini macam tak jadi masalah langsung.


Video ini sendiripun menggambarkan peristiwa ini sebagai puting beliung. Padahal Jabatan Kaji Cuaca Malaysia (JMM) hanya menyatakan kejadian ini sebagai angin kencang akibat ribut petir. [JMM | Arkib] Lihat apa kata media massa. Wartawan dan pengarang berita Utusan Malaysia terus merujuk perkara ini sebagai taufan. Errr, mungkin membantu masyarakat dalam mempelbagaikan kosa kota? [Utusan 14 Ogos 2010]. TheStar sebagai akhbar bahasa Inggeris, walau bagaimanapun, menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris yang lebih tepat dengan kenyataan rasmi JMM [TheStar 14 Ogos 2010]. Manakala media-media lain, ana tak boleh bagi pandangan ana sebab tiada laporan ataupun... kena ambil lebih masa sikit nak buka Buletin Utama dalam Tonton.com.my? (Alasan, hehehe)



11.7.11

Monolog dalaman suatu pagi

Hari Isnin, 5.30AM. (Masa anggaran). Lampu bilik dipasang.

"Dalam kelompok masyarakat Muslim Melayu, acap kali ada sahaja yang menanti lampu hijau ustaz mengenai beberapa isu."

"..."

"Baguslah, sekurang-kurangnya masyarakat masih lagi memerlukan pendapat dari segi Islam."

"..."

"Dan juga masyarakat boleh menilai dari segi agama."

"Tapi kan, asyik-asyik tunggu fatwalah, ceramah YouTubelah, blog terkinilah, penyampaian dalam Facebooklah, bukankah sebegitu ada masalahnya?"

"..."

Menggoreng telur.

"Bukannya apa, ada sahaja yang memerlukan pemikiran logik yang waras dan adil. Bukankah itu dah selari dengan Islam? Biarlah yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah itu sebagai panduan asas."

"Tak boleh, nanti terlebih had pula. Silap-silap tersalah arah... Mengundang murka Allah!"

"Sekiranya begitu, ke mana halatuju intelek masyarakat dalam bab-bab sebegini? Memang budayanya begitu. Lambat laun habislah, tak dapat masyarakat itu sendiri tak digalakkan untuk perkembangan pemikiran sendiri."

"..."

"Oh ya, kau nak fikir pun takkan habis, kau tak belajarpun sosiologi dan falsafah. Inikan metafizik. Dan pandangan pemurnian alam yang selari dengan kehendak Islam."

"..."

"Manakan nak dapat jawapan yang memuaskan hati kau."

"Tapi dalam Al-Quran itu sendiri dah tercatat, bahawa Allah swt menciptakan pelbagai jenis manusia. Jadi berlakunya proses gelung maklum balas. Lagipun bukankah fitrah manusia itu pelengkap antara satu sama lain?"

Menyuap nasi.

"..."

"Jadi hampir mustahil sekiranya berkehendak satu kelompok masyarakat yang mampu melakukan sedemikian secara total, bukan?"

"..."

"Tolonglah realistik sikit."

"Why do you have to think for God, dude?"

"..."

Solat subuh.



30.3.11

Cuti Easter dan (sedikit) muhasabah

Salam. Alhamdulillah, Minggu akademik ke-31. Tamatlah semester kedua ana dan juga berakhirlah kuliah bagi tahun pertama. Bunga pun mula berputik, tatkala suhu makin mencapai belasan. Alhamdulillah berakhirlah musim sejuk yang sebenarnya kelam dan murung.

Berpiknik di Regents Park bersama-sama rakan sebilik ana, Aeizatism. Dan juga rakan-rakan UCL.

Enam minggu lagi, ya enam minggu. Insya Allah pada hari Jumaat, 13 haribulan, ana bakal menjawab kertas peperiksaan, yang akan berlangsung sehingga 27 Mei nanti. Bagi ana... enam minggu itu suatu tempoh yang getir. Ulangkaji lima subjek, ditakuti tidak sempat... silap haribulan balik Malaysialah ana.

Bila ana refleks balik perjuangan ana, ana sedar, yang banyak ranjaunya. Ana sememangnya bergerak seorang dalam perjuangan ini, bukan bermaksud orang lain minghiraukan ana, cuma, biasalah, kawan-kawan lain yang dekat semuanya mengambil bidang yang berbeza. Jadi, telah sekian lama ana berhempas-pulas berseorangan. Bukan tak nak meminta bantuan kawan antarabangsa, ana dah cuba, tetapi apakan daya, sememangnya gaya hidup antara ana dan mereka sangat tidak selari...



22.3.11

Sekadar luahan perasaan

Salam. Kali ini penulis blog nak gunakan kata ganti nama diri daripada "aku" menjadi "ana". Hehe. "Aku" tu nampak keras dah penuh ego. "Saya" pula nanti nampak... terlalu formal lagi skema. "Ana" walaupun itu kosa kata bahasa Arab, nampak lebih lembut, dan pada pandangan ana, lebih merendah diri.

Selama ini, memang rasa rindu nak ikut perkembangan terkini tanah air. Biasalah... tapi bukannya homesick ke, apa-apalah. Sekadar nak tahu apa yang dah jadi. Manalah tahu, ada orang terdekat juga terasa ke.

Ana selalu juga mendapatkan sumber terkini melalui laman web TonTon. Tengok apa lagi, Buletin Utamalah. Dan juga, dalam iPod ana ada aplikasi MobileKini. Boleh baca berita berdasarkan tajuk utama yang kelihatan... "menarik". Media lain? Maaflah, selagi ana kena buka pelayar internet dan kena klik sekali pada penanda buku... sila cari inovasi lain yang jauh lebih menarik. Aplikasi iOS dan Android *kelip mata*? Nak duit pengiklanan masih lagi senang dari situ.

Ana sedikit terkilan, lama-kelamaan yang ana dengar semuanya berita politik, politik, dan politik. Bukannya ana tak minat, cuma... bagi ana, tak ada pun tak boleh, tetapi terlalu banyak sangat pun tak boleh. Memanglah sebab ana baca MalaysiaKini, tapi bagaimana pula dengan menonton Buletin Utama? Eh, memanglah Buletin Utama ada juga misalnya Aduan Rakyat, sukan, liputan isu besar misalnya tsunami di Honshu, dan lain-lain, tapi, bagi ana, tema dan isu yang hampir sama dan asyik diulang-ulang sebegini... kadangkala tak menarik.

Mungkin ada yang berpendapat, "dah itu beritanya", "nak letak apa lagi" dan lain-lain. "Habis tu nak letak apa?". Persoalan sebegini mari sama-sama bincangkan. Mungkin bagi yang duduk di pedalaman sekalipun (yang mungkin ada Astro) namun ana percaya, masih ada yang tetap mengubah kepada rancangan TV3 itu pada jam 8.00 malam sekalipun adanya saluran Astro Awani, Bernama TV dan mungkin juga CNN. Itupun hanyalah 40 minit dari purata empat jam tiga puluh minit masa yang dihabiskan dengan menonton TV. [Sumber | Arkib]

Hanyalah sekelumit buah fikiran ana, mengapa tidak kita letakkan isu lain yang penting, yang lebih kepada pembangunan intelek. Boleh juga untuk pembangunan kerohanian (keagamaan), tetapi lebih mudah misalnya dengan penerbitan rancangan yang sedia ada. Mungkin ulasan seperti baik-buruknya loji nuklear ke, kesan kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat ke, inflasi ke, teknologi MRT Lembah Kelang ke... oh ya. Jangan sekadar berat sebelah je, misalnya kebaikan loji nuklear sahaja.

Hm, sudahlah. Ana tulis kali inipun sekadar nak menyedapkan hati ana yang rasa geram sedikit. Hehehe. Mungkin ada yang bersetuju, cadangan ini nampak sangat teori dan sukar dilaksanakan. Cuma biasalah. Takkan nak biar rakyat kita asyik ditotokkan benda yang sama. Perlu juga untuk membangunkan sumber manusia tempatan, salah satunya melalui cara sebegini.

P.S.: memang Buletin Utama, Berita Perdana, dan sewaktu dengannya, sudah ada unsur-unsur sebegini. Akhbar, pada suatu masa dahulu, juga membawakan maklumat yang serupa. Tetapi, jika diperhatikan betul-betul ana nampak lebih kepada pengkomersialan produk. Sedikit hampa di situ.

P.S.S: Sila beri pandangan masing-masing di kotak komen ye.



11.8.10

Selamat datang ya Ramadhan

Salam. Kali ni memang lama tak menulis sebab asyik menyunting rencana di Wikipedia. Asyik sangat, sebab seronok sampai terabai pula blog ni. Insya Allah kali ni nak menulis mengenai bulan Ramadhan (Clichélah pula!). Tulisan kali ni menggambarkan bingkisan-bingkisan sang penulis terhadap dirinya sendiri. Mudah-mudahan para pembaca boleh dapat manfaat juga, insya Allah.


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah 2: Ayat 183)






14.7.10

Pemansuhan UPSR dan PMR

Izinkan suara kecil aku memberi pendapat dalam isu ni. OK, mungkin isu ni dah lapuk sikit, sebab dah berminggu-minggu terhangat di pasaran. Mungkin dah tumbuh cendawan dan boleh dibuat kacau goreng dek laungan penyokong Andrés Iniesta Luján yang meletakkan bintang di atas jersi baru Sepanyol nanti.

Oh, terlebih dahulu, tulisan kali ni mungkin penuh dengan pendapat aku. Tapi macam biasalah, fakta yang ada akanku letakkan sumber... Dan pandangan aku ni juga bersumberkan pengalaman sikit-sikit.

Aku pun tak pasti bila isu ni timbul. Terima kasih pak cik Google, lebih kurang 20 Jun. Lumrah alam, ada pihak yang bersetuju, dan ada pihak yang tak bersetuju. Menurut artikel MalaysiaKini ini, sebab musabab keputusan ini ialah "aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya."

Hm. Ada juga betulnya, kan? Lagipun apa kegunaannya keputusan UPSR dan PMR ni, selain memantau prestasi akademik bagi sekolah rendah dan pendidikan menengah rendah, dan tiket memasuki institusi pengajian yang elit?

Sebenarnya pemansuhan peperiksaan awam ni bukan suatu isu terhangat di pasaran. Tak silap aku, masih ingat lagi Penilaian Tahap Satu? Itu juga dimansuhkan lebih kurang dalam tahun 2001. Aku malas nak Google dalam-dalam, dalam artikel Wikipedia bahasa Inggeris (Education in Malaysia) menyebut punca PTS dimansuhkan ialah atas sebab "tekanan daripada waris dan guru-guru terhadap pelajar demi mendapatkan keputusan cemerlang". Oh, untuk makluman pembaca, pelajar yang cemerlang dalam PTS layak diletakkan dalam darjah lima (melangkau darjah empat). Pendek cerita, "lompat kelas", istilah yang sangat popular dulu-dulu. Oh, aku pun dalam zaman itu juga. Alhamdulillah, aku pernah mendapat tawaran sebegitu, tapi kesabaran meneruskan darjah empat membuahkan hasil yang jauh lebih baik – semasa tingkatan satu program PPSMI dimulakan.



21.2.10

Terlajak perahu dan terlajak tangan yang menaip

1. Pernah dengar Lynette Lincoln dan Joanna Ann? Ya?

2. Tidak? Gunakan kuasa Google.

3. Apa-apapun, renung-renungkan kembali post aku "Fenomena Facebook bloom di Malaysia", perenggan 5.

4. Kita dikurniakan nikmat akal, gunakannya untuk buat tindakan yang hikmah.

5. Pesanan ni untuk semua pembaca dan juga diri aku sendiri. Betul, semua manusia tak sempurna, tapi setiap manusia melengkapi satu sama lain.



26.12.09

Persidangan Perubahan Iklim PBB Copenhagen 2009: Berjaya ke? Gagal ke? Huh, apa tu?

"...perkembangan terburuk dalam rundingan perubahan iklim dalam sejarah," Lumumba Stanislaus Di-Aping, pengerusi Kumpulan G77 (mewakili 130 negara membangun)

"...memalukan dan (merupakan) kegagalan besar, jauh daripada intipati asal," Tim Jones, Gerakan Pembangunan Sedunia

"... Copenhagen (merupakan suatu) tempat kejadian jenayah, dengan penjenayah terus melarikan diri ke lapangan terbang," John Sauven, direktor Greenpeace

Sedikit pasal latar belakang persidangan ni

Sebelum tu, mesti banyak orang dah tahu apa yg sebab dan kesan perubahan iklim ni. Yang utamanya gas karbon dioksida dan peningkatan suhu. Last2 sekali kekurangan bekalan makanan. Korang tau la kot.

Dipengerusikan oleh perdana menteri Denmark, Lars Loekke Rasmussen, antara 7 - 18 Disember 2009 kat Bella Centre, Copenhagen, Denmark. Mestilah 192 negara anggota ada. Macam-macam la jadi dalam sidang ni. Tunjuk perasaan utk negara maju amik tindakan dari sekarang la, Earth Hour Copenhagen (special edition punya!), perjanjian ini itu la, ambil pengecualian la, negara maju kena mula dulu la, China dulu baru AS, dan macam-macam kerenah, macam budak-budak bergaduh. Hehehe.



14.12.09

Fenomena Facebook bloom di Malaysia

Hehe... just want to be honest... I just opened my Facebook account only on the March this year. Mula-mula tu tak la ramai yang pakai Facebook, lama-lama Facebook ni dapat sambutan. Kalah Friendster, walaupun my account was made April last year! Sekarang ni Malaysians still prefer all Friendster, myspace and Facebook.

Sebenarnya memang betul peribahasa sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Aku rasa fenomena ni dah bermula lepas Malaysia adakan Youth Engagement Summit 2009 kat Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bulan November lepas. Tetamunya, guess who, Randi Zuckerberg (pengurus pemasaran Facebook), Biz Stone (penemu Twitter), Donald Trump (siapa yg tak tahu kan? Tapi muncul dalam bentuk perbincangan video), dan ramai lagi... rujuk laman web rasminya. [masuk sini kalau "Page not found"]

Di samping laman web sendiri (personal) dan blog, PM kita ni pun dah ada Facebook sendiri, tapi baru je naik. Twitter pun. Gagasan 1Malaysia pun dah ada Facebook page sendiri...wow!!! Bukan nak kata, mungkin trend pemimpin pakai Facebook/Twitter/apa-apa laman perhubungan sosial ni mungkin dipopularkan (kalau tak dimulakan) daripada Obama (presiden AS) tu sendiri. Memang sekarang ni Facebook makin berkembang kat Malaysia, tak silap sekarang dah 3.5 juta pengguna dah. Kalau nak sebar propaganda/dakyah/bla-bla-bla pun boleh (jangan fikir lain ya!!!).




7.11.09

Assalamualaikum! (Hello World post)

This is not really my first blog post. Actually I used to have a blog... that was 4 years ago. Yelah... masa tu bukannya ada internet connection yg always on :P... So I abondoned it but it is still there today (as of 7.11.2009) :P... ok... masuk tajuk...

This would be my first post... bla...bla...bla... *pandai2la sambung ek*

Hari ni aku pandang ke belakang... pasal benda-benda yg dah terjadi.. of course.. fitrah manusia la kot.. all the dark sides :(

Still it is haunting me until today. I don't know when this would stop. Argh! Please!

Now I took further step... dah la.. mggu depan term test.. borang UCAS lg... hmmm....

Firman Allah dlm Surah Al-Insyirah ayat 5-6 yg bermaksud:
Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. [5]
Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. [6]

Insya allah!



Your Computer