12.12.12

Tua?

Salam.

Tak juga nak kata "semenjak belakangan" ini juga; seringkali ana mendengar berita perginya insan-insan yang dikenali seperti ibu bapa sahabat handai dan juga sahabat sendiri.

Al-Fatihah bagi mereka. Pohonlah doa supaya mereka dipermudahkan di alam kubur serta dibangkitkan sebagai insan-insan yang mendapat curahan belas kasih sayang Allah SWT.

Kelaziman bagi yang sudah meningkat usia?

Alhamdulillah masih lagi diberi rahmat daripada Allah SWT kerana sudah dua dekad Dia memberi kebenaran kepada diri ana untuk menghirup oksigen supaya memenuhi alveoli peparu.

Alhamdulillah dengan peluang yang masih ada untuk bercakap-cakap dengan insan yang tersayang.

Dan alhamdulillah kerana mendapat jemputan untuk makan kenduri sahabat handai!



5.9.12

Kelajuan Internet melalui Wi-Fi perlahan tetapi sambungan kabel Ethernet laju?

Salam.

Sekadar nota. Sahabat ana kata sambungan Internet tanpa wayarnya sangat perlahan tetapi mesin ana yang bersambung melalui Ethernet langsung kepada kotak Internet. Setelah membuat carian Internet, salah satu puncanya boleh jadi disebabkan oleh perkongsian frekuensi saluran (channel) [rujukan]. Lagilah sekiranya jiran-jiran anda turut mempunyai sambungan internet tanpa wayar.

Apabila saluran ini dipenuhi dengan gangguan atau interferens (interference) disyaki berpunca akibat sambungan tanpa wayar jiran sebelah, maka sambungan Internet tanpa wayar dalam rumah anda sendiri boleh terganggu sehingga menyebabkan sambungan tersekat-sekat.

Jadi, menurut laman web yang ana jumpa, apa yang perlu kita buat ialah dengan memuat turun perisian yang disyorkan dalam laman web tadi iaitu inSSIDer (percuma). Anda juga perlukan nama pengguna (username) dan kata laluan bagi mengakses tetapan router. Itu, kalau tak tahu, ana ingin memohon maaf terlebih dahulu, ana pun tak tahu macam mana nak korek sampai dapat.

Setelah inSSIDer dipasang pada mana-mana mesin, anda boleh memulakan program tersebut untuk mengesan kekuatan isyarat WiFi yang boleh dikesan serta saluran isyarat tersebut dipancarkan. Jadi klik pada bahagian 2.4GHz Channels. Lihat berapa banyak rumah yang berkongsi saluran yang sama.

Dalam contoh ini, saluran yang sarat ialah saluran 11. Elakkan juga saluran 6 dan 1.
Pastikan anda mempunyai manual bagi router masing-masing. Selepas itu masuk ke halaman tetapan router dalam pelayar internet, misalnya bagi Netgear; http://www.routerlogin.net. Tukar ketetapan Channels daripada automatik kepada manual, serta pilih saluran selain yang sendat dengan isyarat jiran sebelah. Cuba matikan sebarang sambungan tanpa wayar dengan semua mesin dalam rumah anda. Sekiranya perlu, hapuskan sambungan sedia ada dan buat semula sambungan tanpa wayar yang baru.

Diharap membantu. Sekian.



28.8.12

Pendapat

Salam.

Baiklah, ana ingin sekadar menyatakan pendapat buat kali ini.

Sememangnya diketahui umum bahawa hanya Nabi Muhammad yang layak disandarkan sifat-sifat kemaksuman, atau dalam bahasa Melayu yang difahami, terpelihara daripada perkara-perkara yang mencemarkan kemuliaan seorang rasul. [Rujukan pantas]

Bagaimana pula dengan para sahabat? Ada yang dijanjikan tempat di syurga, subhanAllah! (segala puji hanya kepada Allah!) [Rujukan] Bagaimana pula para ulama' yang hidup mereka hanya semata-mata menitip redha Allah SWT dalam mengembangkan deen dari segi pelbagai aspek misalnya ulum Quran, ulum hadis dan pelbagai jenis ulum (ilmu)? Tentunya ada sahaja yang berpendapat bahawa mereka tidaklah maksum tetapi bagi ana, keperibadian mereka yang unggul mampu mengecilkan sebarang kekurangan yang ada pada mereka.

Namun begitu, janganlah atas sebab kita boleh bersembunyi di sebalik identiti rahsia (bomohkan baru tahu hehehe!), kita meremeh-temehkan segala usaha mereka. Tidak dapat dinafikan lagi sememangnya telah dituntut terhadap golongan yang beriman supaya mematuhi perintah-perintah Allah SWT seperti yang disampaikan oleh Nabi Muhammad , seelok-eloknya seperti dalam bentuk yang asal. Merekalah yang meneruskan tradisi penyampaian yang tidak putus-putus daripada Nabi Muhammad sendiri.

Sedih apabila ada sahaja yang enggan meneruskan tradisi sebegini. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan sebegini, insyaAllah.



4.1.12

Berlaku adil

Salam.

Ana berharap ana bukan dalam golongan sebegini, insya Allah.

Bukannya apa, ijazah belum habis lagi, sekiranya ditanya mengenai konsep-konsep yang hanya diajar dalam pengajian tahun tiga (atau jauh lebih tinggi daripada itu), insya Allah ana akan mengaku dengan pantas, "maaf, tidak tahu".

Insya Allah, ana akan berbuat sebegitu apabila ditanya mengenai isu-isu dalam Islam. Apakan daya ilmu Islam di dada ana hanyalah sekadar Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Kehadiran Kelas Fardhu 'Ain di sekolah rendah dan sekelumit pembacaan serta beberapa sesi kuliah (yang boleh dikira dengan jari). Ana tidak mahu, sekiranya sekelumit kebatilan diujarkan dalam perkongsian atas sebab memang ana tidak ada ilmu terhadap bidang terbabit, ana bimbang, jalan yang diredhai Allah ini menjauh daripada pembaca-pembaca.

Mungkin sesetengah orang kata sekiranya tempelan berbentuk pendapat itu memang rencah blog tetapi ana lebih bimbang sekiranya idea-idea ana disalah tafsir atau dijadikan hujah bagi seseorang (lebih bimbang sekiranya digunakan untuk menegakkan kebatilan sambil meruntuhkan kebenaran), sedangkan ana bukanlah orang yang sesuai dirujuk. Entahlah, bagi ana, perkembangan teknologi Internet ini menjadikan manusia kian bersikap lepas tangan atau acuh tak acuh. Kenapa serius sangat? Sebabnya ketika ajal menjemput ana pada waktu yang ditetapkan nanti, ana "masih" hidup, ya, "hidup" dalam alam maya. Sebarang sisa-sisa yang ditinggalkan di dunia Internet ini, sekiranya buruk, maka, siapalah yang tahu dalam alam baru nanti...




2.1.12

Maka rajah itu timbul dan timbul dan timbul lagi

خَيْرُ الْقُرُوْنِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ

Sebaik-baik zaman adalah zamanku, kemudian zaman sesudahnya, kemudian zaman sesudahnya.
[Hadis sahih riwayat Muslim, dalam Kitab Fadhail al-Shahabah]

Assalamualaikum.

Mudah-mudahan petikan hadis di bahagian atas membuat ana dan pembaca-pembaca tempelan ana kali ini menginjak paradigma yang berkaitan dengan "graf" yang ana paparkan seperti di bawah. Sekiranya ada sebarang bacaan menarik seperti kisah latar belakang semasa Nabi Muhammad S.A.W. menuturkan ayat tersebut silalah berkongsi. Tak pun rencana akademik mengenai hadis ini dari segi bahasanya, dan aspek-aspek lain.

Klik pada gambar sekiranya inginkan saiz yang lebih besar.

Rasanya sudah ada banyak pandangan mengenai rajah (graf?) yang disebutkan. Tak silap ana, silalah gunakan Google bagi mencari kritikan rajah tersebut. Pelbagai rajah dikemaskinikan supaya penceritaan linear dapat disampaikan melalui rajah.

Cuma di sini, berkaitan dengan hadis di atas, masih lagi timbul hal seperti:
  • Kenapa garis masa (?) bertitik-titik (kronologi?) itu sekejap berliang-liuk?
  • Adakah "ilmu sains" dan "ilmu falsafah" itu "melebihi" atau "lebih tinggi" atau kenapa tidak "setaraf" dengan "ilmu hadis", "ilmu syarak" dan sebagainya?
  • Baiklah, sekiranya rajah itu menggambarkan sebuah bukit dengan kemuncak besar dan kemuncak kecil, apakah signifikannya 1934M? Mengapa tiap-tiap "titik" itu diletakkan sedemikian? Apakah bezanya berada "jauh lebih tinggi" dan "jauh lebih rendah"?
  • Adakah nas-nas yang sahih pada Zaman Makkah, Madinah dan Khulafa' Ar-Rasydin tidak setaraf dengan pengkajian zaman-zaman selepasnya? Bukankah lurus hati Nabi S.A.W. dan para sahabat "tidak setaraf" dengan konflik-konflik dan penyelewangan-penyelewangan yang berlaku?
  • marilah kita sama-sama mengenali Nabi S.A.W., para sahabat dan para tabi'in melalui sumber sahih ‒ kitab-kitab misalnya. [Iklan]
  • Dan macam-macam. Datanglah program kami! [Iklan ‒ kali ini betul-betul iklan]
Sudah tiba masanya kita sebagai hamba yang memilih jalan-Nya meletakkan "pentafsiran" yang jauh lebih adil. Adakah kualiti mampu dikuantitatifkan (boleh diletakkan dalam bentuk nilai)? Sedangkan masih boleh terang lagi perkara-perkara yang hak seperti di sebalik "krisis" Muawiyah dan Ali r.a., itupun sekiranya ana, dan pembaca-pembaca Muslim lain berpegang teguh kepada nilai-nilai anjuran Islam ‒ berbaik sangka (husnuzon). Mereka merupakan sahabat Nabi S.A.W. yang sungguh mulia!

Sekian.



Your Computer