Gambar sekadar hiasan. [Sumber imej]
Rasanya dah lama tak tulis post pasal cuaca ni. OKlah, masuk terus kepada isu kali ni. Dalam 2-3 bulan ni aku nampak cuaca memang panas dan kering. Balik cuti kat Kedah, dalam bulan 12, rasanya ada hujan 3-4 hari saja, macam tu lah. Memang kering. Dekat KL, rasanya lagi OK dari Kedah kot, kurang-kurang dalam seminggu tu 2-3 kali hujan. Cuma baru-baru ni dekat KL, sebelum Tahun Baru Cina, terasa bahangnya. Lepas tu balik Kedah, pun sama juga. Nak keluar, balik-balik rumah, penat sangat sebab kepanasan. Tak tahu la macam mana tempat lain, mungkin ada tempat hari-hari nyaman sebab hujan turun?
Dan tengok berita pun, dekat Gurun, Kedah (Malaysia pun ada "Gurun" tau!), terjadilah kereta api tergelincir dari landasan. [Utusan Malaysia Online, 17 Februari | sumber | WebCite] Puncanya, landasan mengembang. Tadahan air kat Johor pula kekeringan, dan terdengar pula berita bekalan air mungkin dicatu. [NST Online, 16 Februari | sumber | WebCite] • [TheStar Online, | sumber | WebCite ]. Negeri-negeri lain pun dalam situasi berjaga-jaga.
Dan satu lagi, selalunya musim banjir Pantai Timur berterusan sampai bulan Februari. Tapi, tak silap aku la, berita banjir besar ni berhenti sampai bulan Disember tahun lepas, kan? Bukan nak musibah banjir ni, tapi ni bukan ke suatu anomali (anomaly: luar biasa)?
Gambar sekadar hiasan [Sumber gambar]
Tak silap hari Rabu (17 Februari), siap heboh dalam media, Alor Star capai suhu maksimum 36.6°C! Ini data suhu hari Jumaat bagi bandar-bandar di Malaysia. Alor Star catat suhu 35.0°C, antara yang tertinggi di Malaysia untuk hari tu. [Jabatan Meteorologi Malaysia | WebCite] Aku nak sangat cari data cuaca ni, contohnya graf suhu harian. Tapi sayangnya, tak ada secara langsung kat laman web Jabatan Meteorologi Malaysia. Hari ni pula (20 Februari), Perai pula yang "terpanas"... 35.8°C, Alor Setar pun lebih kurang je dengan suhu 35.3°C. [Jabatan Meteorologi Malaysia | WebCite].
Estet nenas di Sabah yang musnah dek kebakaran hutan. [Sumber gambar]
Hutan pun terbakar sekarang. Apatah lagi la semak-samun yang banyak bahan mudah terbakar. Hutan di Sabah dan Johor pun dah masuk berita katanya terbakar. [TheStar Online 20 Februari | sumber | WebCite]. Semak-samun di belakang Sunway pun terbakar! (15 Februari dalam laporan Buletin Utama TV3)
Apa puncanya suhu panas "luar biasa" ni? Jabatan Meteorologi Malaysia kata, keadaan ni normal sebelum musim pertukaran monsun. Lepas ni insya Allah hujan turun Mac nanti (musim pertukaran angin monsun). [TheStar Online 16 Februari | sumber | WebCite] Aku setuju (walaupun ilmu meteorologi aku tak capai tahap mantop), mungkin ditambah dengan faktor El-Nino tahap sederhana. [rujukan - baca untuk maklumat lanjut] Wallahualam. Sebenarnya kesan El-Nino ni sangat subjektif. Banyak faktor lain lagi yang boleh pengaruhi sistem cuaca/iklim negara kita ni, cuma ilmu aku yang terhad, sebab tu aku tak boleh terangkan dalam-dalam.
Cukup pasal cuaca Malaysia yang "panas" ni. Kita masuk pula trend cuaca sedunia, nak tumpu kepada Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
United Kingdom yang diselimuti salji pada 7 Januari 2010 - Gambar satelit Terra NASA
OKlah, semua maklumat ni dipetik daripada blog Dr. Jeff Masters dari Weather Underground. Sedikit cerita beliau. Orang kuat laman web Weather Underground. Ada Ph.D tapi aku tak tahu la untuk apa... haha... beliau lebih suka cakap pasal taufan dan hurikan, tapi katakan ada fenomena luar biasa, dia akan sentuh juga. Mungkin blog yang sangat teknikal, tapi rasanya insya Allah, laras bahasa Inggeris dalam blognya boleh difahami. Mungkin sebab dalam plain English? Nota: tepi peranggan ada pautan, boleh klik masuk link, untuk bacaan terperinci.
Sedikit rekod dan fakta-fakta WOW! untuk bulan Januari 2010:
- United Kingdom: paling sejuk sejak tahun 1987, no. 8 dalam rekod sejak 1914
- Scotland: paling sejuk sejak 1979
- Ireland: paling sejuk sejak 1985
- Seoul, Korea Selatan: salji paling tebal turun pada 3 Januari
- New South Wales, Australia: sedikit salji di pekan Bombala; SALJI MUSIM PANAS pertama sejak rekod mula disimpan dari tahun 1965 (Subhanallah!).
6 Februari 2010: Tempat letak kereta di Virginia, AS, dilitupi salji. Ehsan Mario Roberto Duran Ortiz.
5-6 Februari, satu sistem ribut salji besar punya, hentam negeri-negeri timur AS (Mid-Atlantics). Sampai Presiden Obama pun bagi gelaran khas untuk musibah ni, namanya Snowmageddon (snow + armageddon). Dahsyatnya sampai salji tebalnya dalam 2-3 kaki (1 meter)! Sampaikan masuk rekod salji turun terbanyak, kalau tak pecah rekod nombor 1 pun, top 10 la, bagi setengah-setengah tempat. Misalnya, Delaware dah pecah rekod, Philadelphia nombor 2, Baltimore nombor 3 dan Washington D.C. nombor 4. [rujukan - baca untuk maklumat lanjut]
Tak sampai seminggu, satu lagi ribut salji besar kena tempat yang sama! Subhanallah! Rekod pecah lagi bagi tempat-tempat tertentu, macam ketebalan salji. Yang menariknya, Lapangan Terbang Washington D.C. pecah rekod 1899! [rujukan - baca untuk maklumat lanjut]
Ribut salji pun mula terjadi di kawasan selatan AS pada 12 Februari. Dallas pula pecah rekod dari segi salji paling lebat dalam tempoh 30 tahun! [rujukan - baca untuk maklumat lanjut]
Pada 13 Februari, sistem ribut salji yang sama, menjadi sangat luar biasa lebatnya tiba-tiba turun di kawasan selatan AS di negeri Louisiana, Mississippi, Alabama, Georgia, Carolina Utara dan Selatan. Bila terjadinya fenomena ni, bagi musim sejuk tahun 2009-2010, daripada 50 negeri AS, hanya tinggal SATU negeri AS yang tak kena salji. Mana lagi kalau bukan Hawaii? (Subhanallah!)
Sebelum bencana ni, 16 - 19 Disember tahun lepas, Pantai Timur AS dah kena ribut salji besar. Juga diberi gelaran Snowpocalypse (snow + apocalypse). Maklumat lanjut boleh baca dalam Wikipedia.
Masuk di kawasan Vancouver, Kanada... pop quiz... sekarang ada apa di situ? Kalau tak tahu.. isy... isy... isy... Yelah, Olimpik Musim Sejuk 2010. Masalahnya pula, cuaca tak sesuai, sampaikan ada acara-acara yang kena tunda. Bukan makin sejuk, tapi suam-suam! Kanada susah nak bersalji, AS penuh dengan salji! Kontra kan, padahal Kanada dan AS di atas benua yang sama? Subhanallah! [rujukan - baca untuk maklumat lanjut]
Oh ya. Jakarta pula banjir... [Berita Harian Online, 18 Februari | sumber | WebCite]
Nak kata kesan pemanasan global? Wallahu'alam. Boleh rujuk sini untuk bacaan lanjut. [pautan]
Akhir kata, semua ni kuasa Allah. Anggaplah semua ni sebagai ujian daripada-Nya, marilah sama-sama kita (termasuk aku) bermuhasabah diri. Manalah tahu, Dia menguji kita? Bersyukurlah sebab keadaan kita tak seteruk tempat lain yang dah lumpuh kena bencana dalam bentuk yang lain. Ini sebahagian kitaran alam, insya Allah nanti keadaan akan pulih macam biasa. Buat masa ni, banyak-banyakkanlah buat ibadat sunat bila tak tahan panas (solat sunat hajat, minta turunkan hujan). Minum banyak air (8 gelas OK?); jangan selalu keluar rumah sangat, tolong ayah ibu kat rumah tu, buat assignment!;
Kita ni manusia, sikit-sikit panas, merungut. Sikit-sikit hujan pun, merungut. Where is your stand? Ini baru panas di dunia. Bukan lagi kat Padang Mahsyar... neraka? Nauzubillah.
0 respons:
Post a Comment