11.8.10

Selamat datang ya Ramadhan

Salam. Kali ni memang lama tak menulis sebab asyik menyunting rencana di Wikipedia. Asyik sangat, sebab seronok sampai terabai pula blog ni. Insya Allah kali ni nak menulis mengenai bulan Ramadhan (Clichélah pula!). Tulisan kali ni menggambarkan bingkisan-bingkisan sang penulis terhadap dirinya sendiri. Mudah-mudahan para pembaca boleh dapat manfaat juga, insya Allah.


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah 2: Ayat 183)



Mula-mula sekali panjatkanlah rasa syukur kepada pencipta kita, dapat kita dipertemukan dengan bulan yang dikatakan bulan seribu rahmat oleh saudara-saudara muslim kita ni. Terbenam fajar, menjelanglah 1 Ramadhan. Insya Allah, mudah-mudahan dapat kita menunaikan tanggungjawab kita yang ketiga sepanjang bulan ni. Menariknya dalam bulan ni, macam-macam peristiwa yang boleh kita saksikan depan mata, misalnya bazar Ramadhan hampir setiap hari, surau yang diimarahkan oleh jemaah untuk solat sunat terawih pada awal hari-hari Ramadhan, bubur lambuk, meriam buluh dan lain-lain lagi. Nak cerita semua nanti sampai berjuta-juta bait pula.

Fadhilat Ramadhan

Rasanya dah banyak blog menceritakan segala kebaikan yang dituntut dalam bulan Ramadhan. Aku hanya mampu sekadar berkongsi sikit-sikit. Boleh sahaja Google sebenarnya – tetapi perlu diingat, buat sekadar termampu sahaja. Jangan dipaksa-paksa!

Yang penting, perbetulkan niat kita dahulu dalam setiap amalan kita – tak kisahlah amalan yang wajib mahupun yang sunat – iaitu ikhlas kerana Allah swt. Betul juga amalan-amalan tertentu itu menjanjikan kebaikan atas diri masing-masing – insya Allah – tetapi, wallahua'lam, keredhaan-Nya itu suatu benda yang bukan senang-senang kita nak dapat. Dengan keredhaan-Nya jua kita dapat dari sekecil-kecil benda – setiap helaan oksigen yang masuk ke dalam paru-paru kita – sampailah sebesar-besar nikmat – mengecapi syurga firdaus-Nya kelak. Insya Allah.

Dapatkan Mesej Bergambar yang Cantik bertemakan Islam hanya di ILuvIslam!Sentuh sedikit kebesaran bulan Ramadhan ni. Subhanallah, memang Allah janjikan jualan mega khusus kepada hamba-hamba-Nya (di samping Jualan Mega Malaysia; 24 Julai – 16 September). Misalnya solat sunat terawih itu sendiri. Ada yang menyatakan hadis mengenai fadhilat setiap malam itu maudhu' (diada-adakan) tetapi kita boleh tengok kesan yang tidak langsung misalnya dari segi sosial. Jemaah dapat sama-sama bersosial, malah ahli jemaah yang jarang-jarang ke rumah Allah itu sendiri pun boleh memunculkan diri di kalangan jemaah tetap. Hehehe. Boleh rujuk maslahat itu di halaman ini.

Dari segi ekonomi pula, kita boleh menyaksikan sendiri perniagaan sesama muslim kita yang tumbuh macam kulat di atas tunggul kayu getah. Misalnya bazar Ramadhan, tempahan baju baju, biskut, ketupat, dan macam-macam! Baguskan, apabila masing-masing mencari ikhtiar untuk mencari titik peluh hasil rezeki halal? Pihak pengguna (macam aku ni) ada alternatif daripada asyik ke hulu dan ke hilir ke bandar-bandar. Rumah orang sebelah ada je, tempahlah! Hehehe.

"Budaya" puasa ini kan sebenarnya memang dah sinonim dengan masyarakat majmuk 1Malaysia. Secara tak langsung kan, kita yang sedang menjalankan ibadah ini sebenarnya mempromosikan dakwah Islam tau, bagi aku. Bukan muslim mesti nak tahu lanjut tentang ibadah puasa ni, lambat-laun insya Allah mereka nak tahu mengenai Islam, mudah-mudahan insya Allah kita dapat jadi sebahagian medium dakwah, kecil-kecilan pun sudahlah kan? Doakan pada masa yang sama agar hidayah-Nya sampai atas mereka, insya Allah.

Itu sebahagian kebaikan duniawi. Sebenarnya lebih banyak kebaikan ukhrawi. Misalnya malam al-Qadr... sedekah... sebenarnya banyak lagi! Dari segi sirah kita dalam mendalami maksud di balik Perang Badar. Peristiwa turunnya wahyu pertama juga turut terjadi dalam bulan Ramadhan. Itu baru sedikit. Belum lagi nak dihuraikan. Subhanallah, bulan Ramadhan – penuh barakah.

Dengar-dengarkan lagu daripada Imad, seorang artis nasyid yang popular sekitar lewat 90-an:


Syariat, syariat juga; adat, adat juga, tetapi jangan sampai tergadai syariat

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”

Riwayat Ibnu Majah

Tak dinafikan ibadah puasa ini mencabar dari segi fizikal, mental dan rohani. Takkanlah sebab tak mampu nak buat aktiviti rutin yang biasanya memerlukan ketahanan fizikal, asyik menghadap skrin sahaja? Skrin yang dimaksudkan itu skrin televisyen dan skrin paparan komputer (hehehe...). Tak salah untuk tujuan yang baik, tetapi, takkanlah seharian tengok TV je, buka Facebook je... silap-silap... kita asyik tengok aurat orang je. Takut-takut Ramadhan tak tumpah macam Sya'aban je. Dapat lapar, dahaga dan letih sahaja. Ada masa tu... faham-fahamlah ye. Tolak masa untuk makan tengah hari, rajin-rajinlah... buat benda berfaedah. Perlu ke bagi contoh?

Masuk je bulan Ramadhan ni, antara kelaziman masyarakat setempat ialah berbelanja. Tak kisahlah, untuk juadah berbuka puasa ke, baju baru Aidilfitri ke, jamuan berbuka puasa ke, dan segala macam berjual beli. Cuma nak diperingatkan, bersederhanalah dalam berbelanja tu. Janganlah membazir... dan juga janganlah buat benda yang tak berpatutan. Pernah terjadi isu berbuka puasa di hotel – ada yang berpendapat hal itu membazir. Ada juga yang berpendapat itu bersesuaian – tukar selera; sekali-sekala; katanya. Bagi aku, tak kisahlah, cuma nak beringat, bersederhana itu penting. Sedangkan Nabi SAW sendiri berbuka puasa dengan tamar dan air sejuk sahaja.

Tepuk dada tanya selera. Dan juga fikir-fikirkan rasionaliti.
Dan juga jagalah adik-adik kita tu. Adik-adik yang sungguh hiper sangat sinonim dengan mercun! Eh, jangan-jangan bapa anak pun main juga! Meriam buluh memang suatu masa yang lalu, tetapi sekarang dah muncul dengan varian baru. Memperkenalkan meriam buluh versi 2.0, meriam paip besi bergalvani! Ke mana perginya tanggungjawab abang-abang dan kakak-kakak apabila adik-adik anda tak mampu berseronok menjalani ibadah puasa – dek menginap di hospital akibat kecederaan, kalau tak kehilangan anggota badan? Ha, seronok, seronok juga. Bahaya, bahaya juga!

Dan lagi satu... benar, lepas Ramadhan itu Syawal. Dan 1 Syawal itu Aidilfitri – hari raya fitrah. Pesanan untuk diri aku sendiri juga, jadikan Ramadhan itu platform kegembiraan 1 Syawal, dengan kesederhanaan. Tak perlulah datang je 1 Syawal, semua nak tukar! Ini nak tukar, itu nak tukar... Tukarlah juga kelaziman dalam bulan Ramadhan juga!

Akhir kata

Oh ya! Jangan lupa berniat puasa di malam hari! Tak silap itu rukun puasa. Tertinggal nanti... alamak! Tak pandai jawablah. Maaf.



Hm. Itulah sebanyak sedikit yang aku nak kongsi kali ni. Insya Allah, nanti ada masa nak menulis lagi. Jangan lupa! Perbetulkan mana-mana yang tak betul. Ada yang nak dikongsi, jangan malu-malu nak tulis komen.

P/S: Untuk teman-teman perjuangan di Cempaka International School, Kolej Yayasan United Engineers Malaysia dan tempat-tempat lain yang mengambil peperiksaan A Level Cambridge International Examinations, mudah-mudahan berkat bulan Ramadhan menjanjikan suatu yang menarik, insya Allah. Masih ada sehari untuk mendoakan keputusan peperiksaan yang cemerlang, insya Allah.



2 respons:

let me be X said...

nice view mahanthir!

Mohd Mahathir Maula Saidin said...

:p

Post a Comment

Your Computer