12.8.10

Bunga api malam Ramadhan

Suatu meteor Perseid. Ehsan sumber.
Salam. Bagaimana ibadah puasa? Kepada yang dapat berpuasa penuh pada hari-hari pertama Ramadhan itu, alhamdulillah. Mudah-mudahan dapat berpuasa sampai hari ke-30 Ramadhan. Insya Allah.

Kenapa pula bunga api dalam tulisan kali ni? Bukan bunga api fizikal ye. Nak macam tu pergi beli sendiri di... pasaran gelap. Memperkenalkan sunnatullah yang lazimnya berlaku pada bulan Julai sehingga Ogos, hujan meteor Perseid (Perseids meteor shower). Oh ya, meteor itu lazimnya dikenali dalam kalangan masyarakat Malaysia sebagai tahi bintang. Dari segi istilah astronomi, meteor itu serpihan objek angkasa misalnya komet dan asteroid, yang memasuki atmosfera bumi pada kelajuan di antara 60000 km/j dan 240000 km/j. Subhanallah.

Masuk sedikit belakang tabir fenomena hujan meteor Perseid. Komet 109P/Swift-Tuttle yang beredar dengan bebasnya (tipu je), meninggalkan sisa-sisa berupa material komet itu sendiri. Analogi yang hampir mengena, misalnya lori sampah yang bergerak di atas jalan. Ada sisa-sisa sampah yang mungkin terjatuh. (Kalau tak ada tu, bersyukurlah sebab kita ada pengurusan sisa pepejal yang sangat mantap.) Kita yang bergerak di atas jalan tadi mungkin berselisih dengan sisa-sisa sampah tadi. Begitulah kesnya dengan planet Bumi. Planet kita juga melintasi jaluran sisa material komet tadi, dan sisa-sisa material itu tertarik masuk ke dalam Bumi sebagai meteor. Jangan risau, sememangnya material-material tu sempat "terbakar" di atmosfera Bumi dan menghasilkan hujan meteor. Insya Allah tiada sisa-sisa tadi dapat menghempap kepala anda.


Sedikit gambaran mengenai fenomena ini.

Kenapa dinamakan Perseid? Disebabkan meteor-meteor itu kelihatan berpunca daripada buruj Perseus. Rekod sejarah mengenai fenomena ini turut wujud misalnya pencerapan oleh orang Mesir (purba) seawal 1029 Sebelum Masihi (SM) lagi. Sementara rekod daripada tamadun China pula tercatat pada 36 Tahun Masihi (TM). Waktu-waktu tu belum lagi ada sistem buruj. Hanyalah pada tahun 1834, seorang pengetua sekolah perempuan Cincinnati, Amerika Syarikat, yang menyaksikan fenomena ini dan mengenalpasti buruj Perseus itu sebagai punca ruji (radiant). [Nota: Punca ruji itu ialah istilah DBP iaitu suatu titik di langit yang kelihatan seperti tempat bermulanya pancuran meteor. Sila rujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP]

Cukuplah penceritaan latar belakang encik Perseid ni. Kita masuk bahagian pencerapan meteor pula. Macam yang diterangkan sebelum ni, meteor Perseid boleh disaksikan dari seawal-awal 20 Julai hingga selewat-lewat 24 Ogos. Cuma klimaks peristiwa Perseid bagi tahun ini dijangka pada tengah malam 14 Ogos (Jumaat) hingga subuh hari menurut Pertubuhan Meteor Antarabangsa. Melalui kenyataan laman web itu juga, kadar aktiviti juga dijangkakan kira-kira 100 meteor sejam. Meriah juga langit! Subhanallah. Tak sabar nak tengok! Dan pada kali ini, bulan terbenam awal, langit pun cukup-cukup gelap. Cuma pastikan cuaca sangat-sangat baik, insya Allah.

Di mana patut kita cari meteor Perseid ini. Layari Astronomy.com - Stardome untuk mendapatkan peta bintang di mana-mana kawasan utama di seluruh dunia.
Nak belek bahagian langit mana pula? Mestilah di buruj Perseus. Di mana pula? Oh, OK, OK. Mula-mula camkan dahulu arah utara selatan barat timur. Punca ruji (radiant) tu berada kira-kira kat bahagian timur laut. Tetapi jangan asyik tengok situ je. Meteor-meteor ni mampu membelah serata langit. Pendek cerita, kerling-kerling mata di sekeliling kawasan langit.

Sedikit tips. Jangan lupa bawa minuman hangat (mmmmm!) dan juga kalau tak tahan dengan nyamuk ataupun keadaan malam yang sejuk, pakailah pakaian yang sesuai. Cari juga kawasan yang betul-betul gelap (kawasan kampung yang tak ada lampu jalan), baru ada thrill. Hehehe. Bagi pencerap muslim, boleh ambil kesempatan mengintai-intai langit selepas balik solah sunat tarawih. Insya Allah akan ada. Bagi yang bangun sahur ataupun qiamullail terlebih dahulu, sementara menanti makanan disediakan, boleh juga keluar rumah, sama-sama menonton pertunjukan bunga api semulajadi ni (sambil memuji kebesaran Allah). Oh, dan lagi satu, tak perlulah gajet-gajet, mata kasar pun dah memadai.

Itu sahaja buat kali ni. Selamat menjalani ibadah Ramadhan dan isilah waktu-waktu mulia dengan ibadah. (Pesanan kepada diri sendiri juga!)

Rujukan:
  1. Mike Reynolds (Ogos 2005). Star shower. Astronomy.
  2. Alan MacRobert. "SkyandTelescope.com - Observing Highlights - Dark Nights for the Perseids". Sky and Telescope, 27 Julai 2010.
  3. Geert Barentsen. "Perseids 2010". International Meteor Organization, 20 Jun 2010.



1 respons:

Anonymous said...

Allah bagi BONUS kat kita supaya boleh berjaga malam dan ambil kesempatan qiamullail..ambil iktibar..lagipun peristiwa ni berlaku di sepuluh akhir Ramadhan..Kalau diizinkanNya dapat kebaikan lailatul qadar..malam yang nilainya menyamai seribu bulan..siapa yg menghidupkan lailatul qadar akan diampun dosa-dosanya yang silam..InsyaAllah..

Post a Comment

Your Computer