Terpandang iklan National Geographic pula. Mengenai bencana-bencana besar, kemudiannya adalah beberapa frasa yang mengaitkan dengan "ramalan kaum Maya purba mengenai tahun 2012"... mungkin ana tak sempat nak dengar secara tepat mengenai iklan sebegitu. Tetapi rancangan yang dimaksudkan ialah "End of Days". Cukup setakat ulasan iklan.
Sewaktu usia ana sebelas tahun, TV1 (ya, TV1, Radio Televisyen Malaysia!) ada menyiarkan kartun "Once Upon a Time, the Discoverers..." asalnya dari negara Perancis [rancangan yang dimaksudkan dalam rencana Wikipedia bahasa Inggeris]. Selalu disiarkan pada jam 5.30 petang hari Selasa atau Rabu rasanya...
Dan pada suatu episod, rancangan ini mengetengahkan mengenai Darwin dan "teori evolusi manusia"nya. Iyalah, ana kan masih kecil lagi naif. Terus ana percaya bahawa manusia berkembang daripada beruk! Pada hari kemudiannya ana menceritakan hal sebegini kepada rakan-rakan kelas ana. Salah seorangnya (yang mengikuti kelas KAFA) mencelah menyatakan bahawa "manusia berasal daripada tanah". Alhamdulillah. Ana "diselamatkan" daripada terus mempercayai bulat-bulat bahawa "manusia berasal daripada beruk".
Mungkin para pembaca ada yang bertindak untuk bersikap skeptik dengan tindakan ana, tapi, marilah berlapang dada ya. Sekiranya "pergaduhan" yang bakal terjadi itu bersifat ilmiah ana juga akan berlapang dada, insya Allah.
Kembalilah kepada National Geographic yang ana sebut pada awal-awal tampalan ini. Jadi sekiranya kanak-kanak dan mana-mana Muslim yang menonton rancangan tadi, tiada masalah, tontonlah. Cuma ana rasa sedikit bimbang kerana tanpa pegangan aqidah yang kuat, Allahu 'alam, mereka lebih takut dengan momokan tahun 2012 daripada takutkan Allah s.w.t. Jadi ana memohon dengan keredhaan Allah jua supaya dikuatkan aqidah masing-masing sehinggalah diseru kembali pada bila-bila masa, insya Allah.
Alang-alang menyebut National Geographic (NatGeo); sekiranya di Malaysia, perkhidmatan mana lagi yang membolehkan rakyat Malaysia mendapat televisyen satelit melainkan ASTRO! Untuk melanggan National Geographic, pelanggan seharusnya melanggan pakej Knowledge [pautan] disertakan dengan History, rangkaian Discovery Channel, dan pelbagai rancangan yang lain. Sudah, ana bukannya jurujual piring satelit Astro di sini!
Tapi kadang-kadang rancangan dalam NatGeo diterbitkan oleh [The] History [Channel]. Dan kadang-kadang juga sedikit langkah beringat-ingat apabila rancangan-rancangan sebegini lebih berat fokusnya kepada Eropah dan Barat. Mestilah, kerana diterbitkan orang sana. Cuma ana bimbang penonton muda yang masih bersekolah mungkin termakan pandangan "orang sana", lebih bimbang, dari segi sejarah. Haaaa...! Oleh sebab yang demikian kita digalakkan membaca dengan lebih untuk menerima pelbagai jenis input, dan segala percaturan kendiri dalam tiap-tiap peristiwa tidak ada unsur berat sebelah dan alasan-alasan sewaktu dengannya...
Maka sebelum ana menamatkan tempelan panjang ana buat kali ini, adakah saluran-saluran sebegitu boleh dikatakan sebagai rancangan pendidikan? Atau sekadar hiburan ringan pseudo[nama bidang]?