30.9.11

Media dalam peranan menyebarkan maklumat yang betul

Salam. Sedikit mengamuk dengan media massa (berbahasa Melayu) di Malaysia ni mengenai isu penyebaran maklumat mutakhir dan yang sewaktu dengannya. Ana tak dapat nafikan isu utama media massa sekarang ialah politik, politik dan politik sahaja, jadi kebanyakan orang muda yang kononnya sangat membenci politik secara total inilah yang tak ambil kisah sangat, padahal rakyatlah yang sebenarnya mempunyai kuasa atas negara masing-masing. OK cukup, cukup, nanti tiba-tiba tulisan blog kali ini berkisar politik daripada awal hingga akhir. Lagilah orang meluat. Hehehe.

Masalah utamanya ialah dari segi penggunaan penyampaian maklumat yang betul. Kalau pengunjung budiman rasa pernyataan ini tepat bermakna itulah mentaliti anda, hehehe. Luas sangat isu ni. Baiklah, ana nak mengetengahkan isu penggunaan istilah yang tepat.

Ok, ana nak bagi satu contoh. Berkenaan bidang kaji cuaca atau dalam bahasa orang putihnya meteorologi. Sebab sejak sekian lamanya penggunaan istilah yang tidak tepat ini macam tak jadi masalah langsung.


Video ini sendiripun menggambarkan peristiwa ini sebagai puting beliung. Padahal Jabatan Kaji Cuaca Malaysia (JMM) hanya menyatakan kejadian ini sebagai angin kencang akibat ribut petir. [JMM | Arkib] Lihat apa kata media massa. Wartawan dan pengarang berita Utusan Malaysia terus merujuk perkara ini sebagai taufan. Errr, mungkin membantu masyarakat dalam mempelbagaikan kosa kota? [Utusan 14 Ogos 2010]. TheStar sebagai akhbar bahasa Inggeris, walau bagaimanapun, menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris yang lebih tepat dengan kenyataan rasmi JMM [TheStar 14 Ogos 2010]. Manakala media-media lain, ana tak boleh bagi pandangan ana sebab tiada laporan ataupun... kena ambil lebih masa sikit nak buka Buletin Utama dalam Tonton.com.my? (Alasan, hehehe)
Ok baik. Kita masuk dalam penggunaan istilah taufan pula.

Istilah taufan ini sebenarnya eksklusif untuk penggunaan di kawasan Asia-Pasifik di bahagian hemisfera utara atas persetujuan badan-badan pencerap cuaca yang diberi kuasa untuk memberi amaran berkenaan cuaca buruk akibat sistem sikon tropika (aha, inilah istilah teknikal semua jenis taufan atau hurikan atau siklon dalam bidang kaji cuaca). Taufan pun, kalau hendak digelar taufan sekalipun kena tunggu Agensi Kaji Cuaca Jepun dapat bacaan kekuatan angin melebihi 119 km/j barulah dikatakan sebagai taufan. Sekiranya tidak, ada lagi pengelasan-pengelasan lain iaitu lekukan tropika, ribut tropika dan ribut tropika kencang. Oh ya, selain daripada Jepun, Amerika pun belek-belek juga ribut-ribut di kawasan sini dan sistem pengelasan yang diguna juga ada sedikit perbezaan. OK cukup-cukup dengan syarahan kali ini. Dirujuk daripada Wikipedia dan bacaan lanjut boleh dibuat di laman sesawang tadi.

Tetapi di kawasan lain, istilah yang dipersetujui dalam penggunaan bukannya taufan semata-mata. Di Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik nun berhampiran benua Amerika Utara (Kanada, Amerika Syarikat, Mexico, dll.) istilah hurikan digunakan. Malahan dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa Pustaka pun tersenarai istilah hurikan ini. Klik tab Istilah Malaysia... bagi pendapat ana, istilah taufan muncul di situ untuk memberikan maksud perkataan hurikan kerana... takkanlah nak menggambarkan istilah lain yang ayatnya sebegitu canggih pada para perujuk kan? Jadi untuk tidak timbul kekeliruan dalam hal ini mungkin media massa berbahasa Melayu lebih selesa menggunakan istilah taufan. Malangnya kesan ini terserap masuk ke dalam gelanggang ilmiah berbahasa Melayu seperti Wikipedia bahasa Melayu dan mungkin juga penerbitan-penerbitan makalah berkaitan (dan juga dalam penulisan alam maya, blog!).

Sambung sedikit lagi. Di Lautan Hindi istilah siklon digunapakai. Mungkin ana terlepas pandang beberapa kawasan-kawasan samudera lain tetapi boleh rujuk rencana Wikipedia ini, ataupun rencana Wikipedia bahasa Inggeris ini dan yang ini (amaran: penuh dengan istilah teknikal). Sila belek seelok-eloknya.

Untuk menunjukkan kesannya, ana ingin memberi beberapa contoh, seboleh-bolehnya contoh berita yang terkini.

Taufan Nesat: Lautan Pasifik Barat Laut

Ehsan Wikimedia Commons. Gambar yang dirakam pada 28 September 2011.
Pemeriksaan rawak: (Arkib) Berita Harian dan Utusan Malaysia. OK. Media elektronik: rasanya tiada.

Hurikan Irene: Lautan Atlantik Utara


Video perkembangan Hurikan Irene membadai benua Amerika, ehsan Wikimedia Commons.

Pemeriksaan rawak: Berita Harian dan Utusan Malaysia [arkib] dengan Taufan Irene-nya. Padahal kebanyakan media lain (semestinya media bahasa Inggeris) mengekalkan istilah hurricane. Malah juga media antarabangsa! Sila belek dengan menggunakan Google News.

Siklon Tropika Kencang Yasi: Kawasan perairan Australia

Di hemisfera utara, siklon tropika berputar mengikut arah lawan jam, tetapi sebaliknya di hemisfera selatan. Gambar yang dirakam pada 2 Februari 2011, ehsan Wikimedia Commons.
Jadi... laporan dalam Berita Harian dan Utusan Malaysia kekal dengan penggunaan istilah taufan. Manakala suatu portal berita berbahasa Melayu Singapura juga menggunakan istilah taufan.

Cukup dengan taufan. Jom beralih kepada puting beliung pula.

Ana rasa sekiranya frasa puting beliung disebut, kemungkinan dalam minda para pembaca juga membayangkan...

Puting beliung di Polk Country, Amerika Syarikat. Ehsan Wikimedia Commons.
Betul tak? Mungkin juga...

Sengkayan di Florida Keys. Ehsan Wikimedia Commons.
walaupun sebenarnya ada istilah khusus bagi kejadian ini iaitu sengkayan (waterspout). Tetapi media tidak menggunakan istilah sedemikian, TheStar, meggunakan istilah waterspout, tetapi peristiwa angin kencang digambarkan sebagai hurikan? Mungkin untuk menambah kesan latar dari segi dramatik rasanya. New Straits Times pula menggunakan istilah twister, istilah umum, walaupun piawai bahasa Inggeris NST dikatakan piawai bahasa Inggeris yang digunapakai di Malaysia. OK, OK. Macam mana pula dengan yang ini?

Pusar debu di Mexico. Ehsan Wikimedia Commons daripada "Dupont" dengan lesen Creative Commons.

Fenomena ini dinamakan pusar debu. Menarik kan?

Tetapi... lihat semula video pertama tadi.

Adakah fenomena ini puting beliung? Dari segi istilah kesusasateraan boleh dipakai tetapi... ana rasa pembaca budiman boleh mencari skema jawapan yang tepat. Oleh sebab yang demikianlah, pembacaan luas itu sangat penting, dan jangan semata-mata bahan bacaan luar tertumpu 100% media massa sahaja. Tetapi dalam Internet, ana ingin berpesan supaya elakkan bahan bacaan yang rapu.

Sebelum ana mengakhiri amukan, ana ingin meminta maaf sekiranya unsur-unsur multimedia yang digunakan sedikit sebanyak mengganggu perasaan bagi yang terlibat. Bukan motif ana untuk mengungkit-ungkit perkara yang lepas untuk kesedihan.

Pandangan pembaca budiman boleh dimuatkan dalam ruangan komen yang tersedia di bawah.



1 respons:

Anonymous said...

Sebenarnya kita masih baru berjinak-jinak dengan perbincangan ilmiah, sebab itu kurang fasih mengenai istilah. Selain itu istilah Hurikan kini membawa erti khusus, ribut taufan di bahagian Amerika. Jadi tiada hurikan di Jepun, hanya taufan.

Post a Comment

Your Computer