Dah berhabuk blog ana. Balik Malaysia ni entahlah, banyak kerja di samping meluangkan masa dengan keluarga tercinta, jadi ana pun bertambah malas nak menulis.
Terus kepada isi. Ana juga minat menjejak puting beliung, di samping minat astronomi, sedikit fizik dan juga siklon tropika (taufan). Hehehe. Ana paling suka bila ada berita puting beliung ni, terutamanya jika ana terdengar terjadinya puting beliung di Malaysia. Yang kerap ana jumpa ialah berita sengkayan atau puting beliung di laut. Jarang-jarang dengar berita puting beliung atas darat kecuali kes di Arau, Perlis pada penghujung bulan Oktober 2010 [sampel video] dan juga di Sanglang, Kedah beberapa bulan sebelum itu [sampel video].
Jadi memandangkan pekembangan teknologi seiring dengan masa, makin banyak bukti yang dapat dirakam dan dimuat naik ke dalam YouTube misalnya supaya dapat dilihat oleh orang ramai. Ana dah buat satu senarai video untuk puting beliung yang dikatakan terbentuk atas daratan dan juga di laut (waterspout atau sengkayan). Dah jadi tabiat ana rupanya. Hehehe.
Sebelum masuk lebih mendalam, mekanisme puting beliung di hampir semua tempat ialah serupa (menurut ahli kaji cuaca). Cumanya di Malaysia, puting beliung yang terbentuk tidak seperti di Amerika Syarikat dan kebanyakan kes di Eropah, kerana sistem cuaca induknya tidak melibatkan awan sel super (supercell). Sebaliknya (dalam ayat ringkasnya) akibat proses pusaran angin di bahagian dasar awan kumulonimbus dan permukaan bumi dalam sistem ribut petir di kawasan iklim macam Malaysia ini. Jadi fenomena ini dikenali sebagai landspout, dan bagi ana merupakan salah satu sunnatullah, cuma jarang-jarang disaksikan ramai.