Oh, terlebih dahulu, tulisan kali ni mungkin penuh dengan pendapat aku. Tapi macam biasalah, fakta yang ada akanku letakkan sumber... Dan pandangan aku ni juga bersumberkan pengalaman sikit-sikit.
Aku pun tak pasti bila isu ni timbul. Terima kasih pak cik Google, lebih kurang 20 Jun. Lumrah alam, ada pihak yang bersetuju, dan ada pihak yang tak bersetuju. Menurut artikel MalaysiaKini ini, sebab musabab keputusan ini ialah "aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya."
Hm. Ada juga betulnya, kan? Lagipun apa kegunaannya keputusan UPSR dan PMR ni, selain memantau prestasi akademik bagi sekolah rendah dan pendidikan menengah rendah, dan tiket memasuki institusi pengajian yang elit?
Sebenarnya pemansuhan peperiksaan awam ni bukan suatu isu terhangat di pasaran. Tak silap aku, masih ingat lagi Penilaian Tahap Satu? Itu juga dimansuhkan lebih kurang dalam tahun 2001. Aku malas nak Google dalam-dalam, dalam artikel Wikipedia bahasa Inggeris (Education in Malaysia) menyebut punca PTS dimansuhkan ialah atas sebab "tekanan daripada waris dan guru-guru terhadap pelajar demi mendapatkan keputusan cemerlang". Oh, untuk makluman pembaca, pelajar yang cemerlang dalam PTS layak diletakkan dalam darjah lima (melangkau darjah empat). Pendek cerita, "lompat kelas", istilah yang sangat popular dulu-dulu. Oh, aku pun dalam zaman itu juga. Alhamdulillah, aku pernah mendapat tawaran sebegitu, tapi kesabaran meneruskan darjah empat membuahkan hasil yang jauh lebih baik – semasa tingkatan satu program PPSMI dimulakan.